Sinar Harian Jalin Kerjasama Dengan JKKN
- Butiran
- Zaimatuljuwita
Muhammad Nasir (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Setiausaha Kelab Wartawan Kelantan Darul Naim (Kemudi), Rosmiza Kasim yang juga Ketua Biro Sinar Harian Kelantan sempena majlis Seni@Kelate, semalam.
KOTA BHARU - Sinar Harian Kelantan bakal mengadakan perjanjian persefahaman bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan (JKKN) untuk mewujudkan sebuah ruangan khas berkaitan aktiviti seni negeri ini.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, program Seni@Kelate adalah satu fenomena baharu di Kelantan dan pertama kali diadakan.
Beliau berkata, ia sewajarnya ia dilaksanakan 20 tahun lalu untuk memartabatkan seni budaya Kelantan.
"Bila pihak JKKN bertemu saya untuk memaklumkan perkara ini saya terus setuju dan beri sokongan.
"Justeru, kami akan buat perjanjian persefahaman untuk memberikan satu halaman penuh setiap minggu bagi membicarakan topik kebudayaan dan seni di Kelantan. Jadi pembaca Sinar Harian akan dapat maklumat mengenai sebarang aktiviti seni berkaitan melalui Sinar Harian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seni@Kelate di pekarangan JKKN, semalam.
Beliau berkata, seni meliputi pelbagai aspek termasuk cara berinteraksi sesama manusia juga mempunyai seni tersendiri.
Katanya, masyarakat hari ini semakin terabai tanpa mempedulikan seni sesama manusia. Justeru, beliau berharap melalui kesenian begini akan dapat memupuk kembali seni dan nilai murni dalam diri seseorang insan.